Kuala Lumpur,Putrajaya
20 Rabiul Awal 1441
05:40
Subuh
13:01
Zohor
16:23
Asar
18:59
Maghrib
20:12
Isyak

Meriah Sungguh Masjid Kita

Ingat lagi tak suasana ketika malam solat tarawih?

Alhamdulillah.. masjid penuh! Penuh dengan manusia.

Saat azan isya' berumandang, berpusu-pusu manusia datang untuk solat berjemaah. Terlalu ramai. Sehingga Ahli Jawatan Kuasa masjid terpaksa menyediakan beberapa buah khemah untuk menampung pertambahan ahli jemaah.

Jangan hairan, tempat letak kenderaan pun tidak cukup. Penuh. Mahu tidak mahu, ada yang terpaksa parking kereta jauh di bahu jalan.

Seronok juga rasanya melihat pasangan suami isteri yang berjalan seiringan bersama dengan anak-anak mereka. Ada yang datang dengan keluarga, dengan jiran, dengan kawan-kawan, tidak kurang juga yang datang seorang diri. Masing-masing bersemangat mahu mengimarahkan masjid.

Fuuhhh.. Suasana di masjid ketika itu cukup indah. Tua, muda, miskin dan kaya semuanya berhimpun di rumah Allah. Masing-masing bersalaman dan bertanya khabar sebelum dan selepas solat. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru.

Allahuakbar.. Alangkah indahnya suasana itu. Terserlah kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sebagai seorang muslim yang mengimpikan kembalinya kegemilangan Tamadun Islam zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, sudah pasti akan tersentuh hati dan tersenyum melihat umat Islam datang memenuhi masjid. Ya.. Itu sudah pasti..

Namun.. sayang seribu kali sayang. Suasana itu hanya ada pada bulan Ramadan.

Kini? Pada bulan ini? Apa sudah jadi dengan masjid?

Sunyi.Sepi..

Ya.. masjid kembali sunyi. Hanya yang rajin pergi ke masjid sahaja yang perasan akan kekurangan ini. Tidak percaya? Datanglah ke masjid. Buka mata seluas-luasnya dan saksikan sendiri.

Cukup menyedihkan. Terharu rasanya. Hanya dua, tiga atau empat saf sahaja yang penuh. Itu kira OK lagi. Kadang-kadang satu saf pun belum tentu penuh. Lebih-lebih lagi pada waktu subuh. Adapun yang datang, kebanyakannya orang-orang tua. Orang muda entah ke mana.

Arghh.. mengapa begini? Mengapa masjid tidak lagi meriah selepas Ramadan?

Seolah-olah apabila tiba bulan Ramadan, masjid akan dipenuhi dengan longgokan emas. Lalu ramailah manusia datang berebut-rebut mahu mengambil emas itu. Apabila Ramadan sudah habis, emas di masjid pun turut habis. Maka tidak ramai lagi yang datang ke masjid.

Adakah begitu? Benarkah begitu sikap umat Islam sekarang?
Hanya beramal mengikut musim? Hanya beramal kerana ganjaran pahala yang berganda-ganda?

Aduhh.. jangan.. Mudah-mudahan diri kita bukan begitu..
Sedarlah bahawa Allah SWT sangat menggalakkan kita untuk solat berjemaah. Bukan sekadar solat berjemaah untuk solat sunat tarawih sahaja, bahkan untuk solat fardhu yang lain. Bukankah solat fardhu yang diwajibkan itu lebih utama berbanding solat sunat? Ya.. dan sudah pasti ganjaran bagi orang yang mengerjakan solat fardhu berjemaah tentu lebih besar disisi Allah.

Ramadan itu bulan tarbiyah. Bulan mendidik kita betapa solat berjemaah di Masjid itu sangat digalakkan dalam Islam. Dan berharap agar didikan itu sentiasa istiqamah walau di bulan berada di bulan lain. Bukan hanya sekadar memenuhi saf semasa di bulan Ramadan sahaja.
Kalau orang mukmin, peribadi mereka berbeza sedikit. Mereka tidak beramal kerana ganjaran pahala. Ganjaran banyak atau sikit, besar atau kecil, bagi mereka semua itu adalah bonus. Apa yang mereka kejar hanyalah cinta kasih dan redha daripada Allah.

Tapi.. ramai yang tidak mengerti. Belum memahami agaknya. Ramai yang merasa rugi terlepas solat sunat taraweh tetapi tidak pula merasa rugi terlepas solat fardhu berjemaah.

Sebenarnya, pelik juga apabila seseorang itu mampu untuk datang ke masjid melakukan solat sunat sebanyak lapan atau 20 rakaat tetapi tidak mampu untuk datang solat fardhu yang hanya 4 rakaat. Cuba fikir-fikirkan... Pelik bukan? Memang pelik..

Semasa bulan Ramadan kita ada masa untuk pergi ke masjid, tapi.. pada bulan-bulan yang lain, tiba-tiba pula tidak ada masa. Inipun pelik juga.. Mengapa begitu? Seakan-akan fungsi masjid hanya berjalan pada bulan Ramadan.

Masjid bukan di bina hanya khusus untuk solat tarawih sahaja. Tetapi masjid adalah pusat ibadah harian yang menghimpun hamba-hambaNya untuk sama-sama sujud kepadaNya tidak kira pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan, Syawal atau bulan-bulan lain.

Allah 'Azza Wa Jalla menyatakan;

Dan laksanakalah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah kamu bersama orang-orang yang ruku' - (Surah al-Baqarah ayat 43)

Di mana tempat yang sesuai untuk umat Islam sama-sama ruku' kepadaNya? Tentulah di masjid.

Masjid bukan sebarang tampat. Selain untuk solat berjemaah, masjid juga merupakan tempat berkumpul bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Hebat bukan?

Masjid menjadi tempat berhimpun bagi orang-orang yang tidak takut kepada apa-apa selain kepada Allah. Masjid juga menjadi pusat berhimpun bagi orang-orang yang mengharapkan hidayah Allah.

Allah yang nyatakan sedemikian;

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat hidayah. - (Surah at-Taubah ayat 18)

Nampak? Cukup jelas bukan? Memang hebat peranan masjid. Sememangnya masjid adalah kilang untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti di sisi Allah. Membentuk peribadi yang hebat di dunia, hebat juga di akhirat.

"Sampai macam tu sekali?"

Ya.. Belum cuba belum tahu. Kalau betul kita hendakkan kekuatan dan hidayah daripada Allah, rajin-rajinlah datang ke masjid. Solat berjemaah dan cuba makmurkan masjid bersama-sama. Gagahkan diri selalu. Jangan layan nafsu malas. Hadiri kuliah ilmiah yang dijalankan, dan rapatkan ukhwah sesama ahli jemaah. Sama-samalah kita istiqamah.

Yang paling penting, ajak ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan kita bagi mencintai dan merindui rumah Allah dengan mengimarahkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadan berlaku pada malam yang lain. Biar hati kita terikat dengan masjid. Mudah-mudahan kita berpeluang untuk mendapat naungan istimewa pada hari akhirat nanti sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;

Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: (antaranya) Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya dengan masjid. - (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sahabat-sahabat semua.. Mahukah masuk dalam golongan yang bertuah itu?

Pasti mahu bukan? Saya Mahu.

Maka apabila azan berkumandang, berhentilah memegang tetikus. Berhentilah menatap skrin komputer, iPad atau iPhone. Berdiri kuatkan diri, dan terus melangkah ke masjid. Jangan lupa senyum dan set dalam diri..

Aku hamba Allah! Bukan hamba dunia!
Aku ada misi hidup! Aku mahu berjaya hingga ke Akhirat!
Sumber : iluvislam.com

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.